Monday, August 30, 2010

Pasal Rohani

Selalunya kita cari kawan yang sekepala dan ngam dengan kita saja. Tapi bila baca kitab-kitab karangan Al Ghazali, kita teringin juga jadi orang baik. Atau kita lebih takut, orang yang macam kita ni tak cium bau syurga sebab tergolong dalam golongan orang yang muflis. Bankrup. Kita memang suka sembahayang, kita suka baca quran, kita memakai pakaian orang-orang alim dan berilmu, dan memang kita ini orang ahli yang menjadi tempat tanya kawan-kawan yang nakkan tips macam mana nak lulus periksa, tapi pahala asyik pergi kok orang lain yang terluka dek madah-madah bercili lagi berbisa yang keluar dari mulut kita yang lazer ni.

Terpaksalah kita cuba sedaya upaya memahami, si jiwang karat yang sensitive lagi perasa tu. Kebetulan saya join aje Akauntan Negara, Allah temukan saya dengan rakan yang macam itu. He he he….Mungkin sebab azam saya itu baik Allah permudahkan jalan saya. Masuk-masuk jah kena pergi kursus, kat hotel. Minah ni memang dia termakan budi bebenolah dengan saya semasa di Hotel tu. Dia orang kampung, saya pun orang kampung gak, tapi dah saya ini jenis muka tak malu selamba badak, ala-ala mak cik joyah kepoh, hotel ka, motel ka, istana ka, singgah sana ka, selagi tak ada orang halau aku, aku buat pekak badak, buat semberono, buat macam rumah sendiri aje. Apalah yang kita nak takut atau kekok sebab kita dah bayar.

Saya tak pekalah pula pasal perasaan kawan saya, tapi memang ada juga terasa tangan saya agak kebas di”grip” dengan agak kuat oleh kawan tadi. Tapi saya diam aje, mungkin dia fobia naik feri kut. Bila dia berkali-kali mengucapkan terima kasih ntah apa-apatah yang dia bebel, atas benda yang saya rasa tak ada bendanya yang nak nak ucap terimakasih pun, saya pun sikit-sikit fahamlah memang dia bukan saja takut naik feri bahkan takut masuk hotel. Kesediaan saya menemani dia waima mana dia nak pergi, menuggu dia bersiap macam tunggu buah nak gugur, lepas tu macam ribut berlari nak on time sampai kekelas, memang sangat dia syukuri. Ceh wah macam penyelamatlah gitu kiranya. Kalu tak kerana kursus tu, jangan haraplah orang macam dia nak berkawan dengan Siti Lazerinas ni.

Sejak hari tu kita rapat. Dari dia, saya kenal dangdut, menontot filem Hindustan, dan boleh hafal lagu-lagu Siti Nurhaliza. Infact saya boleh menyanyikan sikit-sikit lagu-lagu hebat dari felem-felem yang dibintangi oleh Datuk Shah Rukh Khan. Kawan saya ini memang sangat mengilai Shah Rukh Khan. Satu-satu yang paling amat memalukan bila saya mengangis tengok cerita Dev Das. Bila semua orang nangis, kita taklah rasa malu. Bila kita dah biasa menangis kita dah tak malu nak menangis dah. Tapi jangan sampai nampak dek orang udahlah.

Satu benda yang kawan saya pesan dan sangat saya ingat sampai kini ialah jangan mudah makan hasutan orang. Orang berbaik, kita yang buruk dan busuk. Ada setengah orang dia memang macam itu, kerjanya melaga-lagakan orang dan amat gembira jika orang bergaduh. Memang benar kata sahabat ku itu. Saya pun tak sangka kawan yang sering dipanggil tooh dan benak mempunyai pengamatan yang sangat halus. Tooh tu means kampung, kolot. Selama ini saya ingat kawan saya obsseskan lagu-lagu Siti Nurhaliza dan felem Shah Rukh Khannya sampai tak perhati orang sekeliling. Lagi satu dia cakap, saya ini caring, tapi tak tau macam mana nak tunjuk care. Dalam hati saya berkata-kata “Huh! Yang aku membontot teman ko pi sana pi sini, gi tempat yang aku tak suka, pi chowkit, pi beli kahen elalah, gi beli tudung bawallah, habis pusing satu chow kit, satu haram benda ko tak berkenan, pegi jadi kutu embum, tengok konsert free Siti Nurhaliza nyanyi kat Dataran Merdeka tu tak cukup care lagi ka hapa minah ni. Ada yang nak makan penampau juga budak ni karang.”

Itu cerita lama, kita pun dah berpisah, masing-masing dah balik negeri masing-masing. Saya di Melaka, dia di Kelantan. Satu hari saya dapat panggilan telefon dari dia. Masa tu dia masih lagi di Putrajaya. Dia bilang “aku sekarang dah mengandung anak sulung. Kau percaya tak sejak aku mengandung ni, aku rajin ikut orang belajar agama kat surau, pergi ceramah kat dewan?”

Pada saya, tak ada apa yang nak dipelikkan, manusia memang macam itu, tiba umur tertentu kita akan mencari pengisian yang lebih berbentuk keagamaan dan kerohanian dari berbentuk hiburan semata-mata. Nama kawan saya pun Rohani, apalah yang nak dipelikkan sangat. Pada saya dangdut dan Hindustan pun salah satu bentuk pengisian Rohani juga. Lagu-lagu cinta Siti Nurhaliza pun hasil dari cetusan kejiwaan yang luhur dan ikhlas.

Cuma ketika itu saya taklah pandai nak bermadah-madah berceritakan tentang manusia dan kemanusiaan. Saya hanya ketawa terkekek-kekek aje. Tapi kalau hari ini dia telefon dan cakap macam itu, pasti tanpa berfikir panjang saya cakap balik “ko rindu kat akulah tu, itu pasal ko cari jejek aku kat surau dan kuliah agama.”

No comments: