Kalau Chegu Piah Irma panggil “purist”, berlainan sekali
dengan Mak Enap Tembamnya. Zainab nama sebenar dia. Irma memang rapat dengan
Mak Enap dia, walau kami tiada pertalian darah dengannya. Sulaiman kawan baik
Abahnya si Irma itu suami Zainab yang sama-sama kerja bawa lori. Suaminya
merupakan seorang yang regular jika kami makan-makan ikan bakar. Dia kawan
memancing Abah Irma. Sulaiman adalah antara yang terkacak, tapi sepanjang kami
memanggang ikan dia memang tiada teman istimewa. Puas juga geng minah kilang
bawa extra kawan perempuan, tapi tak satu pun yang lekat. Sulaiman ini
jinak-jinak merpati.
Tup-tup dia bernikah dengan ntah sapa tah yang kami tak kenal langsung. Katanya anak kepada keluarga angkatnya. Dia bernikah tak
lama selepas saya dan Abahnya Irma mendirikan rumah-tangga. Bila dia ada keluarga angkat kami, pun tak tahu. Mula-mula memang
Zainab tidaklah setembam sekarang, kurus saja saiz S, sekarang ini bertambah
XXL. Zainab dan Sulaiman bahagia….memandangkan dia lewat dapat anak masa
terbuang akan dihabiskan bersama Irma. Kira Zainab ini emak angkatnya si
Irmalah tu. Masalah mula timbul bila Zainab mendapat anak tetapi anaknya
meninggal kerana sakit kuning. Sejak itu, berat badannya mula naik, dan
Sulaiman pula mula bawa lori kontena hingga ke Tanah Segenting. Kadang-kadang
memang tak balik rumah. Abah Irma pula bawa lori setakat dalam negeri sahaja.
Dari situ dia mula sakit, murung dan meroyan-royan.
Mereka pergi berubat kampung, orang kata Zainab kena buatan
orang yang ada menaruh hati pada Sulaiman, telah rasa sakit hati kerana Sulaiman hanya mau bergeli-geli, tapi tidak langsung berniat memperisterikannya. Puas berubat sehingga satu hari
Zainab tidak sedarkan diri kerana menelan
ubat gegat. Dia dimasukkan ke hospital, dan masa itulah baru diketahui
yang Zainab mengidap sakit mental. Barulah juga Sulaiman buka mulut yang Zainab
selalu pukul dirinya sendiri, dan ugut-ugut bunuh diri bila dia percaya
Sulaiman ada simpan perempuan lain selain dirinya. Masa itu Irma sudah darjah 6. Tiap-tiap
hari kami lawat Zainab di wad. Bila Zainab pulih, kami tolong Sulaiman pantau
dia jika Sulaiman keluar berkerja. Irma akan temankan dia dan mengatur
waktu makan ubat Mak Enapnya. Rumah Zainab seberang jalan sahaja
dengan rumah kami. Kalau Sulaiman kerja luar Irma tidur di sana, sedangkan saya
manalah ada masa untuk itu semua sebab sibuk mengelim karipap dan memasak
sambal nasi lemak untuk jualan di siang hari. Ada juga cakap-cakap yang menghasut, takut-takutkan saya yang Irma
akan dicederakan, oleh Zainab, tapi saya lebih percaya cakap Dr Suraya yang Zainab kalau
sakit, dia akan mencederakan dirinya sendiri, bukan orang lain. Ubat yang
dimakan oleh Zainab boleh membantu menstabilkan emosinya dan dengan
sendiri ia dapat membantutkan imaginasi dari berkembang biak, jadi liar dan tidak terkawal.
Kami juga masuk terapi keluarga, sebagai sokongan moral untuk Sulaiman. Sulaiman memang sebatang kara.
Keluarga Zainab pula taksub percaya yang Zainab sudah kena buatan orang dan
menolak mentah-mentah perubatan moden. Mereka kata keturunan mereka tidak ada
yang gila, tapi Sulaiman sengaja memalukan mereka dengan cerita yang
bukan-bukan bagi menutupi kecurangannya. Sulaiman mengambil keputusan yang amat sukar. Dia berhenti kerja,
bikin ladang ayam, di kampung yang terletak agak jauh di pendalaman yang sudah hampir dengan penempatan orang asli. Dia bawa Zainab tinggal bersamanya. Sebulan sekali Sulaiman akan ke bandar membawa isterinya untuk pemeriksaan susulan.
Kini Zainab sudah sihat. Ladang Sulaiman pun makin maju. Dia menggaji pekerja ladang dari kalangan orang asli. Zainab juga ramai kawan dengan perempuan orang asli dan dia jadi sukarelawan tolong cikgu LINUS ajar ABC pada anak-anak orang asli di ladang ayam milik mereka. Mereka mempunyai 3 orang anak yang
kesemuanya lelaki. Namun dia tak boleh putus ubat kata Dr Suraya yang mula mengubatinya. Selain itu kedua-dua mereka juga meminta doa stabil emosi dari ustaz dan ustazah agar emosi dan imaginasi jahat Zainab terkawal. Doktor Suraya sudah tidak berkhidmat di tempat kami lagi, dia sudah bersara dan
menemani anak-anaknya belajar di luar negara. Sekarang ini pun Zainab sudah tidak
perlukan terapi keluarga, dia hanya perlu jumpa Doktor sekejap, bagi tau dia ok
dan Doktor akan mengeluarkan slip untuk dia mendapatkan bekalan ubat yang
seterusnya. Doktor Suraya bukan sahaja bantu ubati sakit Zainab, tapi dia
jugalah yang meminta jasa baik anak saudaranya membikin sebuah pelan perniagaan
bagi Sulaiman. Tika itu anak saudaranya yang sedang belajar di Universiti yang
sama tempat Irma belajar sedang dalam
tahun akhir dan perlu menulis sebuah pelan perniagaan, jadi dia menulisnya untuk Sulaiman sebagai tugasan
pengajiannya.
Jadi, dengan bantuan sebuah pelan perniagaan yang baik, sedikit modalnya sendiri, serta pinjaman bank bermulalah Ladang ternak Ayam Zainab-Sulaiman yang berjaya itu. Sulaiman selalu gurau-gurau di belakang Zainab dengan mengata-ngata "ini semua rezeki dari mencintai dan menjaga orang gila, Mus"