Wednesday, May 11, 2016

ASWJ

“Mak! Abang Non tu ada tak buat benda pelik-pelik? Mak dah nampak ke apa yang kawan mak cakap-cakap tu, eh mak tau tak berdosa bla bla bla pot pet pot pot pet bla bla bla bla?” bebel anak perempuan saya. Geram sangat pula saya bila dia melebih-lebihkan budak sebelah rumah yang rajin beli nasi lemak dan karipap saya.

Iya Non memang pemuda yang baik, berakhlak mulia, selalu hormatkan saya. Cuma ala biasalah kita wanita barisan parti cap Pokok Pisang memang kita suka bergossip pasal parti Cap Ayam. Kita dah jadi tradisi kerja parti Pantai Sebulat Belangkas ini kes politik mengunjing setiap parti lawan. Pantai Sebulat Belangkas ini Ahli Sunnah Wal Jamaah. Gossip baru kami Parti Cap Ayam ada yang Syiah eh…. Bukan mak yang mulakan, Parti Cap Ayam sendiri yang cakap. Ini cerita hangat ni, Cap Ayam dah nak terbagi dua. Satu Ayam Botak, Satu lagi Ayam Selasih. Ayam tetap Ayam, kalau kau mau keluar, jangan guna logo Ayam kata Ketua Ayam Botak yang berserban itu. Jadi Ayam baru guna lambang penyengat. Itu cerita Nasional ni.

Eish anak dara saya ni pula lebih-lebih pertahankan jiran sebelah rumah yang memang merupakan “runner “jer parti Ayam. Tukang pacak-pacak bendera kalau ada pilihan raya. Kalau tak ada ntah apa kerjanya saya pun tak tau. Yang saya tahu parti Cap Ayam selalu bawa dia pergi Iran. Itu yang timbul gossip kata dia Syiah.

“Eh Kak Eton, Syiah ni jahat kak. hah bla-bla-bla-bla,pot-pet-pot-pet-tet-tot-tet-tot tuut 18SX tuuuut 18SG darah sana-darah-sini…18SX tuuuuut….pot-pet-pot-pet-pot-pet-pot pet….” cerita Minah B dengan muncungnya yang terherot-perot cerita pasal Syiah eish macam dia pula dah pergi Iran sana.

Itu yang si Irma marahkan saya tu. Marah dia bila kawan gossip regular merangkap pelanggan tetap saya membawa berita yang jiran sebelah rumah saya merupakan seorang yang dikatakan ajen Syiah. Irma sedang belajar Financial Engineering di Universiti paling mahal di Pantai Sebulat Belangkas ini. Kami memang tak banyak duit, suami saya kerja bawa lori aje. Cuma SPM Irma yang taklah teruk sangat, tapi sebab persaingan hebat dia tak diterima masuk University Awam, dapat belajar politeknik je.  Irma anak tunggal kami. Jadi saya hantar dia belajar di Universiti Swasta yang selalu iklan “99% graduan kami dapat kerja dalam masa 6 bulan selepas bergraduat” Mujur suami bos suami saya syorkan kami ambil insurans pelajaran untuk Irma masa dia baru dilahirkan…masa kami potong kambing buat akikah masa tu juga suami tandatangan polisi insuran Irma. Bos suami saya, bininya kerja jual Insurans….kami saja jemput dia datang majlis cukur jambul. Bos tak makanlah kambing-kambing ni, mereka vegetarian. Masa Majlis itulah orang sibuk bercukur jambul, Nona Bik B sibuk tertonyoh-tonyohkan polisi dia, suami malas nak layan, tanda ajelah,kan.

Dengan polisi itu dan sikit-sikit jualan saya, Irma dapat belajar university. Kalau tak politeknik ajelah, lepas tu baru terhegeh-hegeh nak masuk U. Kan dah buang banyak masa tu. Masuk Universiti Swasta, cepat pun cepat, Politeknik satu tahun 2 penggal, University Irma 3 penggal, result pun bagus, Bahasa penghantarnya Bahasa Inggeris. Pantai Sebulat Belangkas ni kata aje Bahasa ibunda duduk dalam perlembaggaan, tapi bila bab kerja, (Bahasa cari makan) semua Bahasa Inggeris. Yang bagusnya di Universiti swasta termahal ini, Irma dapat ramai kawan pelbagai bangsa, Cina, India, Parsi, Afrika, Arab, semua ada, jadi mau tak mau Irma kena berbahasa Inggeris. Irma pun rajin, sejak dia masuk U penat saya layan dia bikin nasi bungkus,lah, itu ini untuk dia jual di University. Kawan-kawan minta katanya, “takkan nak bagi free aje, kenalah bayar, kita bukannya kaya pun” . Cuma hari ini saja yang saya sakit hati benar dengan dia, pandai pula dia melawan cakap saya, tazkirah-tazkirahkan pula saya, emak dia ni. Padahal dia bukannya betul sangat pun, pada mata saya ini. Kadang tu berbulu mata tengok dia terikut-ikut gaya bontot tonggek ikon fesyen pujaannya, si budak Kim Kardashian tu.  Eish budak ini memang bikin darah aku menyiraplah!

Saya taulah Budak Non tu hensem, macam hero apa tuh…. Yang ada cinta-cinta, satu lelaki rebut-rebut raaaaamai-ramai perempuan tu. Apa ceritalah tu yang ada shoot kat Mesir tu. Cinta apa tah, Assalamuaikum Opocot? Ntah tak ingatlah. Pasal budak tu berani ni melawan saya. Saya ni walau jual nasi lemak je bukanlah bodoh sangat pun, pandai juga saya ni. Cuma masa SPM dulu leka mengorat bapa si Irma dreber lori angkut pisang, kelapa, segala bagai tanaman orang kampung. Pada mata saya lori itu dah sangat “posh” bebenolah tu. Sekarang ni dia bawa lori Kontena. Satu takuk lagi posh dari lori  pisang. Hey, kerja bawa lori gaji besar weh….birthday kalau tak dapat gelang emas, rantai emas mesti ada, walau sejanggut udang pun. Cuma saya je kata “cukup-cukuplah tu tak larat saya nak bayar zakat tiap-tiap tahun, kita pergi cuti-cuti, makan-makan kat hotel, belanja saya sauna, urut badan kat SPA ajelah” 

Ok sebelum saya lalok jauh cerita pasal pujaan hati sendiri, mari berbalik pasal buah pujaan hati yang sudah bikin saya panas betul ini. Mengelegak sungguh rasa darah saya. Kenapalah dia tak ikut perangai bapa dia yang tak banyak mulut lagi penurut itu? Kenapalah dia ikut perangai saya yang berani bercakap, mengomen ngalah ahli parlimen dan berbantah-bantah ini? Lalu saya libas dia balik begini, hah engkau, terkudat-kudat, terkelip-kelip mata dia. Pandai sangat dia nak melawan cakap emak dia, ya! Marah ni dan dalam marah itu carut-carutkan dia, saya bilang sama dia:-

“ eh Irma engkau dah miang, berangan heroin cerita felem satu ustaz rebut 4, 5 heroin tu ya?  Engkau watak mana? Yang ugut bunuh diri ka? Yang biang yang panjat dinding masuk rumah ustaz? Ke, engkau yang pura-pura sakit perut, lepas tu peluk ustaz, panggil orang kampung tangkap basah? Kau cermin sikit. Rambut engkau pun karat, bila masa kau sembahyang? Ambik air sembahyang pun tak sah! Ha lagi satu kalau betul Abang Non kau tu ustaz, kalau abang Non kau dengar, dan tahu kami, kumpulan gossip Parti Pokok Pisang sama-sama dengan Parti Ayam tengoh hot mengumpat dia, kau tunggu sekejap lagi Abang Non kau tu bawakan kurma untuk aku! Bukan ka Hassan Al Basri kasi Kurma kalau orang ngumpat dia?”


Hah. Itulah dia serba-sedikit cerita kami di Pantai Sebulat Belangkas, Ahli-Sunnah-Wal-Jamaah-ini yang kiranya bergossip-mengunjing ini seperti sudah jadi makanan ruji masyarakatnya yang passionate pasal politik dan politikus. Bila ditegur amboi mak marahlah pula.

No comments: