Saturday, May 21, 2016

ASWJ 3

Chegu Piah memang figura yang terkenal di tempat kami. Seorang  guru sastera yang heboh cerita dulu dia menang banyak pingat tapi terpaksa berundur dunia-tulis-menulis kerana cintanya terhadap Leftenan  Mahmud, seorang rejimen Askar di Raja yang Kachak lawa. Mahmud jeles kalau dia menulis, katanyala. Piah kata Mahmud paranoid kunun Chegu sedang berangankan jantan lain masa menulis. Iyalahkan dah suami kau itu askar  kau tulislah hero askar, ini tidak kau tulis hero kopratlah, ahli politiklah, peguamlah, hero pejuang demonstrasi pelajarlah mana tak orang tu tak syak masa kau di Universiti dan dia di Maktab tentera kau ada pasang “nyawa” lain.

Chegu Piah dan saya sama-sama dajjal juga masa sekolah, cuma Chegu pandai jaga reputasi. Chegu pengawas kesayangan cikgu sedangkan saya kaki rambu yang sering kena bahan cikgu. Kadang-kadang pada Hujung minggu, saya dan Chegu Piah ada juga sama-sama meronggeng, menggesel di pasar gesel di Muara tebing tinggi sambil makan askrem calong. Membaca novel taboo yang hangat pada masa itu “minah coreng-cemoreng lemas dalam kebun tebu” Atau joget-joget “Saturday Night Fever” sambil makan nasi lemak, ikan bakar dan minum coco-cola, di Pantai Cinta Manis. Masa itu saya tengah mabuk bermata-ayer dengan bapak si Irmalah tu. Bapa Irma hobi dia memancing jadi kalau ada tangkapan besar dia akan panggil saya untuk bawa nasi lemak dan sambal ikan. Sambal ikan ini special saya tak jual, sampailah sekarang. Resipi ini amat unik, ciptaan saya sendiri khas untuk ikan bakar yang bapak Irma pancing.

Mahmud, mata Ayer Chegu Piah masa tu pemain rugby sekolah yang macho. Kalau bapak Irma dapat banyak ikan, dia akan panggil kami sekali. Mahmud yang tika itu berada di tingkatan 6 sudah ada lessen kereta. Dia pinjam kereta bak dia, kata nak latih rugby dan bawa saya sekali kunun saya ada ulangkaji pelajaran sama Piah. Di sekolah tak sapa tau mereka bercinta, melainkan saya si balaci haram, kawan baik dia. Kenapa saya terpilih? Sebab Mahmud ialah abang sepupu saya. Ha ha ha ha….Keluarga Mahmud memang agak berada, jika dibanding kami semua. Ayah dia cikgu dan mak dia cikgu kemas. Kenapa cinta ini jadi rahsia? Sebab pengetua kami agak pelik, sapa yang ditangkap bercinta, akan di rotan di khalayak ramai.

Itu semua gara-gara budak asrama. Saya, Chegu Piah dan Mahmud tidak tinggal di Asrama. Chegu Piah memang tinggal di bandar yang jaraknya dari sekolah hanya dengan berbasikal 10 minit sahaja. Saya pula walau tinggal di kampung saya menumpang kereta ayah Mahmud. Kalau Mahmud ada latihan rugby, saya ikut Piah balik rumahnya. Piah akan sorong basikal kami berbual-bual bersama-sama. Ok apa cerita rotan-rotan ni? Ceritanya masa Sekolah kemarau, tiap-tiap minggu budak Asrama boleh balik kampung sebab bekalan air sangat kurang. Tapi ada juga yang tak balik. Tetiba ada seorang budak perempuan jatuh sakit demam panas nampak hantu dalam asrama. Penyelia Asrama jadi panic dan panggil ustaz. Ustaz ini memang amat terkenal tinggi ilmu firasatnya, dan ustaz telah mengarahkan tak taulah apa pada Penyelia. Elok minggu berikutnya Penyelia dapat menangkap pelajar lelaki tingkatan 6 berada di Asrama Perempuan. Tak taulah apa mereka bikin, yang kami tau pelajar-pelajar tersebut kena “public Canning” apa dalam istilah Bahasa Melayunya tak tahulah apa, sebab semua orang sebut public canning, public canning. Masa itu kami baru berada dalam tingkatan 3. Fobia public canning itu yang bikin Chegu Piah dan Mahmud merahsiakan cinta mereka, apabila mereka mula bercinta masa Piah tingkatan 5 dan Mahmud berada di tingkatan 6 Atas. Saya ini bagaimana? Saya tak fobia sebab bapak Irma bukan budak sekolah pun. Dari darjah satu lagi saya dah mengendap dia bawa lori. Tapi pernah juga saya kena rotan, tak tau sapa bagi tahu cikgu. Saya kena rotan pun masa dah nak SPM. Lepas SPM sapa ada mau kena rotan kau lagi?

Chegu Piah punya result SPM cemerlang lalu dia masuk matrikulasi, sedangkan saya yang hanya cukup-cukup makan, memaksa ayah Irma meminang saya. Mahmud pula masuk maktab tentera. Majlis kawen kami ala kadar aje. Chegu Piah dan Mahmud berkahwen 5 tahun selepas itu. Irma sudah berumur 4 tahun. Saya umur 18 tahun dah dapat anak. Tapi malang lepas kelahiran itu doktor kata Rahim saya rosak dan itu satu sajalah anak saya. Majlis mereka memang gilang-gemilang, siap-potong-kek-bawah-pedang. Tapi Mahmud servis tentera 15 tahun saja sebelum buka petrol pump di taman kami ini. Mahmud banyak kerja lapangan, Chegu Piah asyik kena tinggal-tinggal sahaja. Kerajaan ada offer Mahmud pangkat yang lebih besar, tapi kena keluar negara. Chegu Piah tak mau ikut, kerana terpaksa menjaga ayahnya yang sakit kencing manis, ntah tak tahu macam mana perundingannya, Mahmud pencen awal.

Chegu Piah dari sekolah sampailah dia jadi Chegu macam itulah perangai dia. “Puritan” kata Irma. Kalau masa sekolah dulu dia dan Mahmudlah kunun tak ikon sekolah baik budi, contoh teladan, tapi bercinta kalau berjoget-joget, berpeluk-peluk mereka yang lebih syahdu dari couple-couple lain. Kalau Pengetua ada, pasti bukan setakat kena rotan, harus dua orang kena buang sekolah.  Bapak Irma bukan ajak kami aje, adalah beberapa couple lain yang sama ada kerja bawa lori atau kerja kilang di bandar. Mereka joget sikit-sikit lebih-lebih bakar ikan dan borak-borak seputar artis dan dunia hiburan. Piah dan Mahmud mereka belangkas. Macam Princes dan Prince plak. Makan dan minum ada dayang jamu dan hidang. Sapa lagi Dayang tu, kalau tak saya.

Bila dah tua-tua umur dah 4 series, dah nak masuk 5, lagi sangat perangai dia, bila dia jadi champion “healthy-life-style” taman kami. Itu tak boleh makan, ini tak boleh, tapi belakang orang, semua dia bedal. Pada satu hari, masa itu Irma yang sudah berkerja di Pulau Puri-puri-yang dikenali sebagai “hub-financial-offshore” pulang bercuti. Kenapalah dia cuti. Kenapalah dia tak kerja aje. Lagi sekali saya rasa mahu humban dia dalam perigi buta tau!

Chegu Piah datang nangis mendudu-dudu….anak sulungnya si Izran, mungkin akan di klasifikasikan sebagai pelajar tajaan kerajaan yang hilang. Sudah satu semester Izran tak datang kuliah, pegawai Pendidikan di negara tempat Izran belajar tidak dapat mengesannya dan menyangka Izran lari balik rumah ibu-bapa. Chegu Piah tak tahu apa-apa. Dia kata Izran elok berskype dengannya dua minggu lepas, jadi dia mau pinjam duit saya untuk ke Mondoh bandar tempat belajar anaknya.

Tika itulah saya mau siat-siat mulut si Irma tu. Kau tahu Jah, ada ke dia yang sepatutnya menghidang kopi O dan karipap, curi dengar perbualan kami dan terus menyampuk. Bukan setakat menyampuk tapi bagi ceramah kewangan, bagi ceramah siviks lagi sama Chegu Piah, amboi mak malunya saya, tak tahu mana mau sorok muka ini. Irma memang dah lama meluat dengan Chegu Piah. Semua yang dia meluat dia sembur habis-habis. Saya memang tak tau nak cakap apa, saya jadi patung. Saya cukup marah, sampai saya tak boleh cakap dan merajuk lari dari rumah…. Sebelum saya pergi saya minta-maaf banyak-banyak sama Chegu dan masa itu memang saya tak fikir panjang, saya bagi aje wang yang Chegu perlukan. Saya malu punya anak dara yang begitu, kalau begitulah mulutnya sapalah yang mau datang masuk meminang dia tu. Saya lari pergi pulau Beri-beri, sebab saya malu. Nasib bapa dia tau di mana saya berada dan Irma bawanya bersama. Hah! Engkau, berguling-guling dia nangis minta-ampun-minta maaf atas pasir pulau yang putih bak mutiara itu. Saya buat derk aje. Saya bagi tahu bapaknya suruh bawa balik anaknya dan kasi saya lagi seminggu dua untuk tenangkan diri. Lepas tenang saya masih tawar hati dengan Irma…saya cakap sama bapak dia “bagi tahu intan payung awak tu raya nanti baru boleh balik rumah, datang minta maaf” saya masih perlukan masa yang panjang

Selang dua bulan selepas kejadian, iaitu 3 bulan sebelum hari raya,  Husin kunci, yang kerjanya bikin kunci di taman ini  datang meminang Irma bagi pihak anak lelakinya yang kini berkerja sebagai juruterbang pesawat tambang murah di ibukota. Kami tanya Irma dulu, tapi kami tipu Irma seolah kami sudah terima pinangan itu. Irma sangat terkejut. Dia cakap dia sedang mengedik-gedik dengan mata-ayer-mat-salleh. Saya cakap sama dia “kalau kau nak mak maafkan engkau, terimalah anak uncle Husin kamu, kalau tak mak tak nak ngaku kau anak” saya cuma test aje. Gertak-gertak saja. Kalau dia berkeras, saya tak ada masalah terima menantu orang luar, pun. Tak sangka dia terima. Sekarang ini saya sedang sibuk bikin majlis walimah dia.


Kisah anak Chegu Piah? Budak Izran masih tidak dapat dikesan. Pihak penaja dah tutup fail. Izran sudah diketegorikan sebagai pelajar hilang dan Che Piah, suami isteri terpaksa bayar ganti rugi pada pihak penaja. Kesian kami tengok Chegu Piah. Hari-hari termenung. Chegu kata dia dah tak boleh hu ha hu ha macam dulu-dulu lagi, duit tinggal sikit sebab lebih separuh gaji kena potong buat bayaran ganti-rugi si Izran. Mahmud buat derk aje. Kempen healthy-life-style dah tak bermaya. Tak ada joget-poco-poco, tak ada lagi rombongan pergi SPA, tiada lagi kelas mekap-mekap “colour me beautiful”, tiada lagi percutian di tempat urut tradisional di Selatan Kinana. Tak apalah SPA dan urut tradisional di sini pun dah tumbuh mencanak-canak.

No comments: