Sunday, March 15, 2015

PUPUS

Cerita ini hanyalah rekaan belaka, tiada kena mengena dengan yang hidup atau mati:-

Satu hari keluarga kami didatangi oleh saudara jauh. Dah lama juga mereka tak pulang kampung, alih-alih terjongol aje mereka suami-isteri. Ada hajat katanya. Begitu berhati-hati sekali mereka menyusun kata agar tidak menyinggung perasaan kami, sedangkan kami langsung tak rasa apa-apa pun sebenarnya.

Mereka bertanyakan tentang penyakit saya. Bagaimana saya sembuh, apa ubatnya dan bermacam-macam lagi. Kata mereka anak mereka dapat penyakit yang sama. Mereka sudah puas ikhtiar, tapi seperti macam itulah juga.

Mak berterus-terang yang saya hanya makan ubat hospital. Tapi mereka cuba korek. Mereka kata ada orang cerita yang sebelum makan ubat hospital pun mak ada bawa berubat kampung. Itulah mereka mau tau akan di manakah tempat saya berubat. Mak seperti macam dah lupa akan hal itu sebab sudah terlalu lama benda itu berlaku, dah lebih 20 tahun berlalu dan kami pun tidak pasti sekiranya tukang ubat itu masih ada lagi.

Untuk tidak menghampakan saudara yang datang dari jauh itu kami pun setuju untuk membawa mereka berjumpa dengan tukang ubat tersebut, pada keesokkan harinya, kerna kampung tempat saya berubat itu mengambil waktu perjalan lebih kurang 2 jam dan tamu kami bertandang pun sesudah zohor.

Dipendekkan  cerita, tidak banyak yang kami boleh bantu saudara jauh itu memandangkan betullah firasat emak yang tukang ubatnya telah tiada. Kehampaan sungguh saudara itu. Dia bertanya-tanya takkanlah ilmu itu langsung tidak diturunkan kepada anak atau saudara terdekat arwah. Tapi sayang jawabannya negetif. Isteri saudara saya seperti mau menangis.


Saya sungguh tidak sampai hati melihat dia. Tapi itulah kisahnya. Andai boleh didokumentasikan ilmu rawatan tersebut, alangkah bagusnya. Pun begitu semua tau ilmu perubatan Islam ini bukanlah boleh diwarisi oleh sebarangan orang. Disiplin yang diperlukan untuk mengangkat ilmunya amat ketat dan tidaklah lagi  sesuai diamal oleh orang modern seperti kita. Lama-lama ia pupus begitu, sahaja, tanpa pewaris. 

No comments: