Cerita ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau mati....
Saya ini jenis pelajar yang kawan dengan semua orang, ke Usrah pun, saya, ke kelab Malam?? he he.... taklah sampai ke kelab. Ke panggung wayang sahaja. Saya budak kampung mana ada duit pergi kelab, setakat tengok wayang di Subang Parade, Chow kit, sentral market tu memang sayalah tu. Kawan ajak usrah saya on, ajak soping, tengok wayang pun saya ok aje. Masa tu zaman-zaman awal 90an lagi. Memang sudah ada banyak kelab sekitar PJ tapi budak tajaan JPA dari kampung memang tak berani,lah pergi kelab.
Kelab ni, budak-budak lelaki anak orang kaya aja yang berani menjejakkan kaki ke situ. Boleh kata geng usrah memang selalu "kacau" geng tengok wayanglah. Ala, kacau-kacau manja sahaja. setakat ketuk pintu, suruh turun solat subuh berjemaah, ketuk lagi pintu kalau ada program ilmu pada malam minggu dan sebagainya. Selit pemplet usrah di pintu. Gitu-gitu ajelah.
Pernah juga saya di"hasut" untuk mentarbiah geng wayang agar bertaubat. Tapi saya buat pekak dan saya pun tidaklah diharap sangat pun menjalankan kerja-kerja tarbiah ni, sebab tugas saya dalam jemaah hanyalah untuk untuk menyedia makan-minum sahaja. Tika Naqib & Naqibah bersyarah saya tertidur. Tidur itu memang trade-mark saya. Semua majlis Ilmu, formal tak formal saya memang tangkap lelap.
Jadi ahli yang sering terlena memang tidak diharap untuk menjalankan kerja tarbiah. Mereka tidak pula menghalau saya walau bacaan Quran saya tidak bagus, walau saya tak boleh sampai apa-apa tazkirah pun, sebab kalau tak ada saya sapa nak bikin teh susu yang sedap itu? Ahli jemaah semua sudah kecanduan teh susu saya. Membancuh teh susu jemaah ini tugas warisan dari nenek. Kalau di kampung nenek saya jadi pembancuh susu di surau, di Kolej saya pula membancuh teh susu budak-budak usrah.
Lagi satu saya juga pandai bergendang dan main gitar. Haaaah masa ini sahajalah waktu di kolej itu, mata saya bulat cerah dan bersinar. Di pentas usrah saya bergendang mengiringi kumpulan Nasyid. Di pentas seni saya petik gitar mengiringi biduanita kolej yang bersuara merdu yang namanya Saida Maryam. Dia sangat cantik dan punya ramai peminat. Saya ada satu rahasia jahat, yang saya simpan kemas dari darjah satu opps... dari tahun satu he he. Kepala usrah (masa tu dia belum kepala lagi, cuma ahli biasa yang sudah menunjukkan bakat dan kewibawaan sebagai pemimpin masa hadapan yang disegani ramai, masa itu baru tahun satu, kan? Tapi itula baru tahun satu pun dia dah tunjuk terror. Kalau zaman ini harus sudah masuk program realiti Ustaz Pilihan atau Pencetus Ummah pilihan, tu) banyak kali selitkan surat calit minyak wangi ajak Saida berdating. Hah! sayalah posmennya. Saya ini pula sudah mengiringi Saida menyanyi sejak di Sekolah Menangah lagi. Walau saya ini orang kampung, dari tingkatan 4 lagi saya sudah sekolah di PJ. Saya dapat tawaran belajar di Asrama, tapi ayah tak mampu beli keperluan dan yuran Asrama, saya dibawa tinggal dengan Pak Ngah saya yang merupakan seorang guru. Saya bersekolah dari tingkatan 4 hingga SPM di sekolah tempat Pak Ngah saya mengajar. Di situlah saya mula nak kata rapat tak juga dengan si Saida ni. Ntah dia memang menyampahlah tengok muka saya. Not her taste. Hubungan kami sangat profesional. Dia penyanyi, saya pemuzik. Tapi saya sangat hormatkan Saida sebab disiplin tinggi yang telah ditunjukkannya sejak di bangku sekolah lagi. Sedang saya masih lagi budak kampung yang petik gitar ikut suka hati mak bapak aje ni. Ntah macam mana boleh masuk satu Kolej tu, hmmm tak tahulah saya. Jodoh saya jadi cupid dia dan sijantung hatinya. ha ha
Mujurlah saya tidak perlu menyimpan rahasia surat calit minyak wangi buat penyayi cantik ini untuk sepanjang hayat, kerana akhirnya Kepala Usrah dan Saida berkahwin juga akhirnya. Mak aaiiii memang kecoh satu kolej. he he. Rata-rata kata si Saida sudah kasi ubat guna-guna sama Kepala. Untuk menyelamatkan Saida dari terus dikritik dan ditohmah, Kepala dengan gentlemannya menerangkan dialah yang mulakan langkah dengan surat calit minyak wangi yang dan mengumumkan sayalah orang perantaraanya. Apa cerita seterusnya tentang mereka? Tidaklah berapa saya periksa sangat. Dengar cerita kedua-dua mereka menyambung pengajian peringkat Sarjana di Belanda dan terus tak pulang-pulang lagi ke tanah air.
Not so much about my teh tarik, I suppose, tapi more on surat bercalit minyak wangi itu. Itulah ceritanya bagaimana saya boleh berkawan dengan kedua-dua belah kem yang memang tak ngam. Saya bebas naik pentas petik gitar di sebelah sini, mau pun bergendang untuk geng sebelah sana. Sana-sini saya masyyyuuuukkkk. Tapi tu pemain gendang, dan pemetik gitar masa tu orang tak pandang, orang dok siok ketua Nasyid dan Penyanyi cantik sahaja,kan? Kalau tidak kerana pengumuman Kepala usrah yang sayalah posmen surat, pasti hingga kini saya tidak laku-laku lagi. Dek kerana pengumuman itu saya bertemu-jodoh dengan suri hati.
Saya bukanlah nak cerita pasal tak ketidak"ngam"an mereka, atau cerita sensasi Kepala Usrah dilarikan penyanyi cantik, tapi saya mau cerita satu insiden yang telah berlaku lamaaaa dulu. Ceritanya begini, Mior salah seorang kawan wayang saya, tua setahun dari saya. Masa saya di tahun akhir, dia sudah bekerja di resort ayahnya di Kuantan. Resort tersebut cantik dan ada kuda. Mior sekampung dengan Azmah tunang sepupu saya. Iyalah abang sepupu anak Pak Ngah saya, itulah, tu. Azmah merupakan Imam perempuan Kolej atau kita panggil Ketua Naqibah. Azmah merupakan pengemar tegar teh tarik saya. Sepupu saya Ketua usrah United Kingdom. Mereka bertunang pun atas jaringan Usrah.
Nak jadi cerita, masa itu saya mau pulang ke kampung semasa cuti pertengah semester. Mama saya pula perlukan daun herba yang dibikin oleh mama si Mior. Kebetulan tunang Azmah sudah tamat pengajian dan tengah tunggu jawapan kerja di Jabatan Kerjaan bercadang untuk untuk menziarahi nenek di kampung. Jadi dia minta kebenaran Pak Ngah untuk meminjam kereta ummi untuk bawa kami, iaitu saya dan Azmah untuk ke kampung. Bila mama saya mendengar yang saya akan pulang ke kampung berkereta bersama Abang sepupu saya, dan akan singgah ke kampung Mior untuk menghantar Azmah, mak saya memesan agar saya mengambil herba Mama Mior. Herba mama Mior memang terkenal sampai ke Kampung saya. Ala kampung Mior sebelah sahaja dengan kampung saya.
Pada hari dan masa yang dijanjikan, Mior sudah sedia menunggu saya. Dia terkejut pucat muka bila nampak Azmah. Begitu juga Azmah, yang merah padam mukanya bila nampak Meor yang hanya mengenakan singlet dan seluar bermuda yang nampak kepala lututnya. Mior kelu dan cakap tergagap-gagap "Marilah masuk, minum-minum dulu"
Azmah serba salah, dia kata dia hanya mau tunggu di kereta sahaja. Saya pun serba salah. Sepupu saya juga serba-salah, jadi semua macam serasa semua macam salah saya. Masa itu saya rasa macam saya mau terjun gaung. Lalu saya cakap.... "tak apalah kami tunggu di sini sahaja" saya dan Abang Lan tercegat di depan pintu rumah Meor sedangkan Azmah sudah menonong masuk dalam kereta setelah abang sepupu menyerahkan kunci kereta kepadanya.
Dalam perjalanan menghantar Azmah pulang ke rumahnya abang sepupu saya berkata "cantik ya resort Ayah Mior, nanti bolehlah abang bulan madu dengan Azmah di sini, tak payah keluar duit banyak-banyak cuti di luar negara" Saya rasa macam nak menangis bila saya dengar Azmah bersuara dari seat belakang " ya memang cantik. Maafla tadi saya berperangai macam kera-canggung"
No comments:
Post a Comment