Monday, December 23, 2013

CD Che Bedah Tembun

“Che Bedah, oh Che Bedah” Che bedah tembun seorang pembantu guaman tercari-cari akan siapakah yang memanggil-manggil dia. Dia agak kaget, matanya bulat memandang CD berwarna putih yang tertampal di dinding. Ya dia amat pasti CD itulah yang memanggil-manggil dia.

“Che Bedah, iya saya yang panggil kamu. Bawalah saya ke tempat ofis lama kamu dan tayanglah isi kandungan ini pada kawan-kawan lama kamu. Mesti mereka suka”

Che Bedah agak terkejut. CD tu merayu-rayu dia, menggoda-goda. CD itu mengandungi bahan bukti kes pembikinan bahan pornografi oleh individu yang agak terkenal di ofis lama Che Bedah. Pelakunya telah pun dihukum salah. Ntah macam mana CD itu boleh berada di opis Che Bedah, Che Bedah pun tak tau. Masuk Ofis sahaja CD tersebut telah dilekatkan di papan kenyataan ofisnya berserta keratan Akhbar cerita tersebut yang berlaku pada minggu lepas.

Ramai jugalah wartawan TV yang membuat liputan dan mengambil gambar usai hakim membaca keputusan kes tersebut. Memang macam itulah Mahkamah ni, cerita-cerita jenayah begini memang ramai yang mau buat liputan. Che Bedah pun tak faham. Bulan lepas ada pesalah mati semasa menunggu hakim membaca kes, tidak pula ada wartawan mau datang, sebelum itu Che Bedah dan rakan-rakan kegusaran kerana ada aduan kunun Mahkamah mau diletupkan, pun tak ada juga wartawan datang. Tapi cerita porno begini begitu mendapat liputan sehingga masuk berita utama di kaca TV. Bangga jugalah rasa hati Che Bedah bila melihat kawasan ofisnya, terutamanya vending machine tempat dia selalu beli air 100 plus masuk TV. Alahai…

Che Bedah memandang CD itu lagi dan CD terus merayu-rayu Che Bedah untuk mempertontonkan ia pada khalayak yang lebih luas. Che Bedah tau membawa bahan bukti keluar itu salah. Mengedar bahan lucah pun salah. Ini kerja gila, bisik hati Che Bedah.

“alah, Bedah bukan ada orang tau pun. Memang orang tu lekatkan saya di sini nak suruh ko bersiaran. Ko,kan CNN tak rasmi pejabat. Bawalah sekali kerepek pisang kamu, tentu sekali akan laris. Kawan-kawan kamu mesti seronok mengunyah kerepek pisang sambil menonton isi kandungan saya. Ko juga yang untung”

Eh CD tu macam tahu-tahu sahaja apa yang ada dalam kotak fikiran Che Bedah. Lalu Che Bedah teringat pesan-pesan dalam FB yang berpesan agar menyimpan aib orang lain rapat-rapat. Cepat-cepat Che Bedah beristigfar. Tak baik buka aib orang fikirnya. Pasti kita tak suka diaibkan, Cukup-cukuplah dia bersiaran akan kebaikan pakai korset bamboo, dan bersukan, sungguh pun bentuk badannya langsung tak membayangkan dia seorang yang menjaga penampilan diri secara tuntas.


No comments: